Fasiliti

Galeri Utama – Pengembaraan Menelurusi Alam Semesta

Galeri Utama Balai Cerap Negeri Sembilan menawarkan pengalaman yang menggabungkan elemen pembelajaran dan hiburan melalui pameran astronomi dan sains angkasa yang menarik. Direka khas untuk mencetuskan minat terhadap penerokaan angkasa lepas, galeri ini sesuai untuk semua peringkat usia.


 

Lawatan anda bermula dengan menerokai sejarah penubuhan balai cerap, termasuk detik penting dan sumbangannya dalam bidang astronomi di Malaysia. Seterusnya, kunjungi seksyen meteorit yang mempamerkan sampel sebenar serta maklumat menarik mengenai asal-usul, jenis dan kesannya terhadap bumi.


 

Pelawat juga dapat menikmati pameran menyeluruh mengenai sistem suria, lengkap dengan visual interaktif yang menerangkan ciri-ciri planet, bulan, dan objek-objek cakerawala lain. Bahagian eksplorasi angkasa pula membawa anda menelusuri sejarah berkaitan angkasawan pertama Malaysia dan teleskop angkasa.

Bilik Teater – Menghubungkan Ilmu dan Langit

Bilik Teater di Balai Cerap Negeri Sembilan merupakan ruang pembelajaran yang sesuai untuk pembentangan dan sesi taklimat berkumpulan. Dengan kapasiti 25 orang dalam satu masa, bilik ini amat sesuai digunakan untuk sesi taklimat, ceramah pendidikan, atau bengkel berskala kecil.


 

Antara tarikan utama di bilik ini ialah infografik berkaitan sejarah tokoh-tokoh ilmuan Islam yang memainkan peranan penting dalam perkembangan ilmu falak dan astronomi. Bilik ini juga dilengkapi dengan paparan peta langit interaktif yang membolehkan pengunjung mengenal lebih lanjut berkaitan buruj dan objek langit malam.

Bilik Cerapan Hilal - Menjejak Anak Bulan, Merentas Ilmu

Bilik Cerapan Hilal di Balai Cerap Negeri Sembilan merupakan ruang khas untuk memperkasa pemahaman orang ramai tentang bulan dan kepentingan cerapan hilal dalam ilmu falak Islam. Di dalam bilik ini terdapat pelbagai infografik yang menerangkan konsep anak bulan (hilal), kriteria anak bulan dan juga paparan menarik berkaitan gerhana matahari dan gerhana bulan.


 

Antara kemudahan utama bilik ini ialah anjung cerapan terbuka yang digunakan semasa sesi cerapan rasmi hilal, khususnya untuk penentuan bulan-bulan Hijri seperti Ramadan dan Syawal. Anjung ini dilengkapi dengan satu teleskop Al-Biruni, dinamakan sempena tokoh ilmuwan Islam terkenal. Bilik ini turut menyediakan ruang santai untuk pelawat.

Kubah Solar – Gerbang Menyelusuri Matahari

Kubah Suria di Balai Cerap Negeri Sembilan merupakan kemudahan khas yang digunakan untuk aktiviti astronomi pada waktu siang dan malam. Dilengkapi dengan teleskop khas untuk cerapan Matahari, kubah ini membolehkan pemerhatian dan rakaman imej permukaan Matahari secara selamat, termasuk fenomena seperti tompok suria, kembungan (prominence) dan nyalaan suria (solar flare). Aktiviti cerapan adalah tertakluk kepada keadaan cuaca semasa, kerana langit yang cerah amat penting untuk cerapan Matahari yang selamat dan berkesan. Atas faktor keselamatan dan teknikal, kubah ini mungkin akan ditutup sekiranya berlaku hujan renyai atau hujan. mempunyai dua buah binokular dan jam matahari

Anjung Tinjau – Meneroka Langit dan Lautan

Anjung tinjau ruang cerapan tertutup yang terletak di tingkat lima bangunan balai cerap. Ruang ini direka bagi memberikan suasana yang selesa dan dilengkapi dengan paparan interaktif, ruang ini menyajikan maklumat menarik mengenai objek-objek cakerawala serta sejarah perkembangan ilmu astronomi. Pada waktu siang, pengunjung juga boleh menikmati pemandangan indah Selat Melaka melalui pandangan tingkap yang luas.

Kubah Utama – Nadi Utama Balai Cerap

Kubah Utama Balai Cerap Negeri Sembilan menempatkan teleskop terbesar di Malaysia. Teleskop berkuasa tinggi ini mempunyai diameter kanta sebesar 24 inci (61 cm) dan diimport khas dari Amerika Syarikat, membolehkan cerapan terperinci terhadap Bulan dan planet. Kubah ini turut dilengkapi dengan skrin LED, menjadikannya lokasi yang sesuai untuk sesi perkongsian ringkas bersama para pengunjung.